Malaysia
merupakan sebuah negara yang bertuah. Kita menerima taburan hujan yang agak tinggi
setiap tahun dan kaya dengan sumber air. Kira-kira 97% sumber air di Malaysia
adalah terdiri daripada air permukaan manakala selebihnya iaitu 3% adalah dari
air bawah tanah. Namun begitu, sejak beberapa bulan yang lalu paras air di
beberapa empangan utama di Selangor menunjukkan peningkatan signifikan seperti
yang berlaku di Sungai Selangor dan Tasik Subang. Sememangnya kapasiti air yang
ditampung ini mencukupi untuk menampung beberapa tahun yang mendatang.
Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia seharusnya berjimat cermat dalam menggunakan
sumber air. Pada tahun 2013, purata penggunaan air rakyat Malaysia adalah
sebanyak 210 liter sehari. Namun begitu, pada tahun 2014 purata penggunaan air
sudah meningkat sebanyak 2 liter yang bermakna 212 liter atau bersamaan 141
botol air (andaian setiap satu botol berkapasiti 1.5 liter) sehari untuk setiap
orang. Hanya 30% dari penggunaan air tersebut digunakan untuk kegunaan sebenar
seperti memasak dan air minuman. Selebihnya digunakan untuk kegunaan utiliti
lain seperti membasuh kereta, membersihkan kolam dan membasuh pakaian.
Kadar
penggunaan air di Malaysia masih lagi melebihi kadar yang di syorkan oleh
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 165 liter sehari. Berdasarkan
Malaysia Water Industry Guide 2014, Pulau Pinang sahaja mencatatkan kadar
penggunaan air tertinggi pada tahun 2013 iaitu sebanyak 296 liter sehari.
Manakala negeri yang mencatatkan kadar penggunaan air yang paling rendah adalah
di Sabah dengan penggunaan sebanyak 109 liter sehari. Pada 2011, satu survei
dijalankan dan didapati di kalangan negara Asia Tenggara, secara purata di
Thailand kadar penggunaan air hanya sebanyak 90 liter sehari, manakala di Singapura,
kadarnya sebanyak 154 liter sehari dan pengguna air di negara tersebut bercadang
untuk mengurangkan lagi kadar penggunaan air seharian mereka sebanyak 100
liter.
Malaysia
mungkin akan mengalami krisis kekurangan air sekali lagi sekiranya rakyat masih
lagi berterusan membazir. Sebenarnya, ada beberapa cara untuk menjimatkan
penggunaan air. Pertama sekali, gunakan tadahan air hujan untuk membasuh kereta
dan menyiram pokok bunga yang kurang gunakan air. Seterusnya, kita juga boleh
menjimatkan air dengan menggunakan shut-off
nozzle pada hos dan gunakan low flow
shower head. Selain itu, di cadangkan untuk mandi tidak terlalu lama
(disyorkan sekitar 8 minit atau kurang) dan menutup air semasa memberus gigi,
menyabun dan menyental pinggang. Akhir sekali, selalu memeriksa kebocoran yang
mungkin berlaku di dalam tandas dan kepala paip.
Sebanyak
71% permukaan di Bumi terdiri daripada air. Namum begitu, hanya 1% sahaja air
di Bumi merupakan air bersih yang boleh digunakan untuk kegunaan seharian. Krisis kekurangan air di kebanyakan tempat di Malaysia
berlaku disebabkan pihak pengurusan yang kurang efisien dan di
tambah pula dengan sikap rakyat Malaysia yang suka membazir air. Namun, perubahan
iklim dunia mungkin memberi kesan terhadap sumber air seperti kekurangan air di
seluruh dunia. Makanya, penjimatan air amat penting diutamakan.
Tuntasnya,
rakyat Malaysia perlu berterusan untuk menjimatkan penggunaan air dan
bersama-sama mengurangkan kadar penggunaan air sebanyak 165 liter yang
disyorkan oleh WHO.
No comments:
Post a Comment