Monday, 15 February 2016

Roti Canai Kegemaran Rakyat Malaysia [MAL]


Malaysia adalah sebuah negara yang majoritinya terdiri daripada tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Percayakah anda bahawa, keharmonian hidup antara masyarakat berbilang bangsa dapat dicapai dengan makanan? Makanan ruji bagi masyarakat ialah nasi. Tanpa mengira bangsa, nasi sememangnya menjadi makanan asas bagi setiap lapisan masyarakat.

Nasi lemak merupakan nasi yang paling terkenal di Malaysia. Bahkan ia juga turut terkenal dalam kalangan pelancong luar negara. Pastinya, makanan pertama yang mereka akan mencuba apabila menjejakkan kaki di Malaysia adalah di Malaysia. Namun, selain daripada nasi lemak, roti canai juga menjadi pilihan hati semua lapisan rakyat di Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Roti canai atau roti jenis leper yang berbentuk bulat ini sesuai dimakan sebagai makanan pagi, tengahari, petang, dan malam. Kebiasaanya ia dihidangkan dengan kuah dal atau parpu atau kari dengan sambal ikan bilis.

Roti canai dalam bahasa Melayu bermaksud hasil dari tingkahlaku pembuat roti tersebut dalam meleperkan, menganginkan dan menebar doh roti. Ada juga menyatakan perkataan canai asalnya dari jenis dal yang digunakan bersama roti ini, iaitu "Channal". Pada versi yang lain, perkataan canai ini datangnya dari nama bandar Chennai, India disebabkan ramai pencanai roti ini kebanyakkan berasal dari sana pada ketika kebanjiran orang India di Malaysia.

Tahukah anda, roti canai tergolong dalam 10 makanan yang menggemukkan? Sekeping roti canai mengandungi 300 kalori dan kebanyakan rakyat Malaysia akan makan dua keping roti canai sehari dan ini bersamaan 600 kalori. Menurut Kevin Zahri seorang ahli nutrisi terkenal menyatakan untuk membakar 600 kalori kita perlu berjogging atau berlari di treadmill selama 90 minit.

Bahan-bahan untuk mebuat roti canai:

3 cawan tepung gandum

1 biji telur

½ cawan susu segar

3 sudu besar minyak

3 sudu besar marjerin

Cara untuk mebuat roti canai:

Campur tepung, telur, susu dan marjerin hingga lembut sambil dicampur air sedikit-sedikit. Bahagikan pada ketul-ketul kecil dan perap dengan minyak masak. Biar semalaman. Canai dan leperkan nipis-nipis. Panaskan kuali dan goreng. Bila masak, angkat dan tepuk-tepuk.
Walaupun roti canai merupakan makanan yang menggemukkan namun ia masih menjadi kegemaran masyarakat Malaysia. Keenakan roti canai yang dimakan panas-panas memang tidak terkata dan dicicah dengan kuah dal atau kari lagi mengangkat selera orang ramai di pagi hari.

No comments:

Post a Comment