Tuesday 5 April 2016

Hantaran atau Mas Kahwin Lagi Penting? [MAL]

Setiap pasangan di dunia menginginkan sebuah perkahwinan yang bahagia dan berkekalan sampai ke akhir hayat. Setiap bangsa dan agama beranggapan bahawa perkahwinan adalah sebuah majlis keraian yang suci dan indah. Bahkan sejak dari kecil lagi kita semua telah didedahkan dengan kisah-kisah dongeng seperti Cinderella, Snow White dan Rapunzel yang berakhir dengan sebuah perkahwinan yang bahagia. Setiap bangsa mempunyai adat resam dan budaya perkahwinannya yang tersendiri. Setiap kaum pasti akan mewarisi tradisi perkahwinan nenek moyangnya. Begitu juga dengan kaum Melayu. Perbezaan jelas antara kaum Melayu dengan kaum lain adalah dari segi mas kahwin dan hantaran.


Mas kahwin ialah wang hantaran yang ditetapkan mengikut jabatan Islam negeri dan jumlahnya disebut ketika akad nikah. Ia merupakan bayaran wajib daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Pihak lelaki bebas meletakkan amaun mas kahwin tersebut. Walau bagaimanapun, setelah akad nikah wang tersebut menjadi milik mutlak si isteri dan si isteri bebas menggunakan wang tersebut mengikut kehendaknya.

Hantaran pula ialah merupakan wang hadiah daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan. Ia tidak menjadi kewajipan kepada pihak lelaki utnuk membayarnya. Jumlah wang hantaran tersebut sebenarnya bergantung kepada budi bicara kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan pengantin perempuan semasa pihak lelaki menghantar rombongan merisik atau meminang. Tujuan wang hantaran ini diberikan kepada pihak perempuan adalah untuk meringankan beban pihak perempuan untuk mengeluarkan belanja kenduri kahwin.

Namun, masyarakat kini sering keliru antara kewajipan dengan adat. Disebabkan kekeliruan ini maka kes perceraian di Malaysia semakin meningkat. Ibu bapa di era moiden ini kebanyakannya lebih mengutamakan wang hantaran berbanding dengan mas kahwin. Bahkan wang hantaran kini diletakkan setaraf dengan status pengajian si pengantin perempuan. Semakin tinggi tahap pengajian mereka semakin mahal wang hantaran diletakkan oleh pihak perempuan sehinggakan jumlah tersebut di luar kemampuan pengantin lelaki. Disebabkan kekangan dan halangan daripada keluarga belah perempuan maka, si pengantin lelaki sanggup membuat pinjaman bank.

Pada dasarnya perkahwinan adalah suatu yang sangat suci dan mudah. Namun kini perkahwinan menjadi satu bebanan kepada bakal-bakal pengantin terutamanya pengantin lelaki. Jika tiada wang RM10 000 minimum dalam tangan maka sukar bagi pasangan-pasangan muda ini ingin melaksanakan hajat mereka untuk berkahwin. Kes perceraian banyak berlaku di Malaysia kerana mereka tersepit dengan hutang-piutang sekeliling pinggang. Disebabkan hutang yang banyak ini jugalah mereka menjadi tertekan dan mengambil keputusan mudah.


Perkahwinan memang hanya berlaku sekali seumur hidup namun harus diingat dalam kita memenuhi kepuasan hati sendiri dan semua pihak, kita seharusnya bertindak bijak dan berfikir dalam jangka masa yang panjang. Jadi renunng-renungkan sama ada ingin mendapat kehidupan selepas kahwin yang bahagia dan harmoni atau ingin hidup dalam hutang-piutang.

No comments:

Post a Comment