Sunday, 13 March 2016

Pembuangan Sampah di Jalan Raya adalah Perbuatan Tidak Bertanggungjawab [MAL]

Tahap kesedaran membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah. Masih terdapat rakyat Malaysia yang membuang sampah di merata-rata tempat. Pembuangan sampah di merata tempat mencerminkan ketamadunan masyarakat tersebut. Jelas sekali masyarakat yang membuang sampah di merata tempat tidak menggambarkan dirinya tergolong dalam masyarakat minda kelas pertama. Tempat yang menjadi kebiasaan bagi mereka membuang sampah adalah di sungai dan tepi jalan raya. Kebanyakan mereka lebih cenderung untuk membuang sampah di jalan raya ketika memandu kerana mereka lebih mementingkan untuk menjaga kebersihan kenderaan sendiri berbanding dengan menjaga kebersihan awam.


Pembuangan sampah sarap di jalan raya sudah menjadi satu fenomena di Malaysia. Mereka sewenang-wenangya membuang sampah melalui tingkap tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain terutamanya penunggang motosikal. Pembuangan sampah seperti plastik pembalut makanan dan tisu ketika memandu boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain kerana plastik dan tisu merupakan barang yang ringan dan mudah ditiup angin. Dikhuatiri ia akan menutupi pandangan penunggang motosikal dan mengenai cermin kereta di bahagian depan sehingga boleh mengganggu pemanduan pengguna lain.

Selain itu, pembuangan sampah di jalan raya juga boleh memburukkan pemandangan dan mencemarkan udara dengan bau busuk. Jalan raya merupakan laluan utama yang digunakan oleh semua golongan termasuk pelancong dari luar negara. Keadaan jalan raya yang dipenuhi dengan sampah sarap memburukkan imej negara pada pandangan orang luar. Bahkan kita mungkin akan dilabel sebagai rakyat yang pengotor. Kebersihan adalah merupakan daya utama dalam menarik kedatangan pelancong luar negara. 

Pembuangan sampah sarap di jalan raya juga boleh menjejaskan kesihatan penghuni di kawasan sekitar. Timbunan sampah sarap di tepi jalan raya boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Bau busuk yang keluar daripada sampah tersebut boleh menarik tikus dan lalat untuk menghurungi kawasan tersebut. Nyamuk, tikus dan lalat adalah merupakan vektor virus yang mana ia membawa penyakit berjangkit.


Menjaga kebersihan awam seperti jalan raya adalah merupakan tanggungjawab semua pihak. Para pengguna jalan raya seharusnya mematuhi papan tanda untuk tidak membuang sampah di jalan raya kerana jalan raya adalah kemudahan hak bersama. Pihak penguatkuasa juga perlu sentiasa mengawasi pengguna jalan raya dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi arahan. Selain itu, disarankan juga untuk meletakkan tong sampah berdekatan dengan jalan raya bagi memudahkan pengguna jalan raya membuang sampah mereka. Tong sampah juga perlu disediakan lebih banyak di kawasan perumahan, kawasan Rehat & Rawat (R&R), dan stesen-stesen minyak serta mengosongkan tong sampah bagi mengelakkan mereka membuang sampah di atas jalan raya. 

No comments:

Post a Comment