Monday 29 February 2016

Kerosakan Jalan Membahayakan Pengguna Jalan [MAL]

Kemalangan jalan raya yang berlaku di Malaysia bukan sahaja berpunca daripada kecuaian individu semasa memandu dan kondisi kenderaan yang tidak diservis. Bahkan keadaan jalan raya dan persekitarannya juga menjadi salah satu faktor kemalangan jalan raya. Jalan raya yang berlubang, retak, mendap, beralun, penutup lurang yang terbenam atau di atas paras jalan, tampalan tidak sempurna dan berpasir boleh mengakibatkan kemalangan terutamanya kepada penunggang motosikal. Kerosakan jalan raya juga boleh mengakibatkan banyak peralatan sokongan kenderaan seperti penyerap hentak dan tayar mudah rosak dan bocor.


Pemotongan jalan yang dilakukan untuk pemasangan  utiliti seperti paip air dan kabel bawah tanah telah menyebabkan 70% kerosakan jalan raya. Kualiti penurapan jalan yang rendah dan penyelenggaraan yang tidak dijalankan secara profesional juga penyebab kepada kerosakan jalan yang berlaku berulang kali di kawasan yang sama. Kerosakan jalan yang berlaku di Malaysia juga berpunca daripada sikap kontraktor yang tidak mematuhi Standard Operational Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kebanyakan kontraktor tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan JKR kerana ingin mengurangkan kos operasi. Menurut SOP yang dikeluarkan oleh JKR, pihak kontraktor bertanggungjawab dalam menampung sementara atau memampatkan semula lubang korekan dengan serta merta. Tambahan pula, korekan tersebut perlu ditimbus dengan pasir sehingga ke paras permukaan jalan. Namun, sesetengah kontraktor hanya menimbuskan korekan tanpa memadatkan korekan tersebut.

Selain itu, sekiranya sepanjang tempoh membaikpulih terdapat kerosakan pada jalan atau menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan maka pihak kontraktor bertanggungjawab untuk membaikpulihnya dengan segera. Kebanyakan kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kerosakan jalan raya yang tidak dibaikpulih semula oleh pihak berwajib.

Di samping itu, menurut SOP kerja-kerja pemotongan terbuka yang melintasi jalan hendaklah dibaiki semula seperti sediaada dalam tempoh 24 jam selepas pengorekan. Bahan-bahan korekan juga perlu dibuang dari kawasan kerja dengan serta-merta selepas pengorekan. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah kontraktor yang menggunakan semula bahan korekan yang tidak boleh digunakan untuk menimbus lubang korekan. Tambahan pula, longgokan bahan-bahan korekan di tepi-tepi jalan juga boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya pengguna motosikal.


Kesimpulannya, sekiranya pihak berwajib mengikuti semua syarat kelulusan yang telah ditetapkan JKR maka kualiti jalan semestinya akan bertambah baik dan kemalangan jiwa juga dapat dikurangkan. Paling penting, para kontraktor perlu mengubah sikap “ tidak mengapa” mereka dan bersikap bertimbang rasa mengenai keselamatan pengguna jalan raya. Tambahan pula, bagi memastikan pihak kontraktor mematuhi kesemua syarat yang telah ditetapkan dlm SOP maka pihak JKR perlu sentiasa mengawasi kerja-kerja yang dijalankan oleh kontraktor yang dipertanggungjawabkan dengan mengadakan lawatan ke tapak kerja. Malaysia adalah merupakan negara yang membangun. Oleh sebab itu, isu mengenai penyelenggaraan jalan perlu diatasi dengan segera dan serius oleh pihak berwajib dan kerajaan. 

No comments:

Post a Comment