Meriahnya Raya Tanpa Hutang
Apabila puasa menjelang, ramai masyarakat sudah menghitung hari lebaran Aidilfitri. Bahkan, ramai keluarga sudah menghitung bajet perbelanjaan pada hari raya yang bakal tiba. Bermula dengan pakaian serba baru, juadah di hari raya hingga ke kelengkapan rumah yang baru. Memikirkan kos perbelanjaan hari raya yang melonjak tinggi ditambah pula dengan kos sara hidup masa kini boleh menyebabkan seseorang itu untuk bertindak di luar batasan. Sesetengah individu sanggup untuk bekerja lebih masa sepanjang Ramadhan manakala sesetengah pihak pula sanggup mengambil jalan pintas iaitu dengan meminjam duit daripada peminjam yang tidak bertauliah atau Ah Long.
Modus operandi peminjam yang tidak bertauliah ini semakin menjadi-jadi. Mereka bukan sahaja lagi mengedarkan dan menampal risalah-risalah mereka di kaki lima bangunan bahkan kini mereka berani untuk menawarkan pinjaman secara terbuka melalui media sosial seperti Facebook dan melalui kiriman pesanan ringkas (SMS).
Bagi individu yang terdesak, sudah pasti pinjaman yang ditawarkan oleh Ah Long umpama penyelamat keadaan. Tawaran mereka mungkin kelihatan menarik pada awalnya namun sebagai pengguna yang bijak, harus berfikir dengan lebih panjang dan memikirkan akibat yang akan timbul di kemudian hari. Pengguna yang bijak adalah pengguna yang berhemah dalam perbelanjaannya dan belanja mengikut kemampuan diri. Bak kata pepatah, “Ukur baju di badan sendiri”. Perbelanjaan di luar kemampuan hanya akan merugikan diri sendiri dan orang sekeliling.
Oleh itu, dinasihatkan para pengguna untuk berbelanja secara berhemah dan mengikut kemampuan bukan mengikut hawa nafsu. Disarankan juga agar pihak berwajib untuk meninjau dan memantau sebarang aktiviti pinjaman secara haram di media sosial bagi mengelakkan para pengguna daripada terpengaruh dengan tawaran pinjaman daripada peminjam tidak bertauliah.
No comments:
Post a Comment